Tuesday, May 26, 2009

BAYANGKANLAH.......MALAYSIA KU GEMILANG

Bila Najib diusir dari Seri Perdana
Mohamed Hanipa Maidin Wed May 27, 09 1:02:40 am MYT

Jam menunjukkan pukul 2.30 pagi awal Januari 2010, Najib Tun Razak yang baru pulang ke kediaman rasminya di Putrajaya tiba-tiba dikejutkan dengan satu surat dari Duli Yang Mulia Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau hendaklah mengosongkan rumah rasminya kerana baginda telah melantik orang lain sebagai Perdana Menteri menggantikan beliau.

Alasan baginda di dalam surat tersebut adalah ahli-ahli Dewan Rakyat khususnya dari Pakatan Rakyat dan beberapa ahli BN yang mula menyokong Pakatan Rakyat telah berjumpa baginda di Istana Negara dan menyatakan bahawa mereka tidak lagi yakin dengan Najib dan mahu orang lain sama ada Tuan Guru Dato? Seri Abdul Hadi Awang atau Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Surat baginda juga menyatakan bahawa jika Najib tidak meletak jawatan, beliau hendaklah dipecat dari jawatannya sebagai Perdana Menteri.
Najib merengus marah dan berang lantas memohon menghadap Tuanku. Sebaik diizinkan menghadap Najib berkata:

"Macam mana Tuanku dengan sewenang-wenangnya memecat patik sedangkan Parlimen tidak mengadakan apa-apa sidang atau membawa apa-apa usul atau undi tidak percaya kepada patik. Patik tidak nampak mana?mana peruntukan di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang member kuasa kepada Tuanku untuk memecat patik sebagai Perdana Menteri.
"Macam mana patik boleh dengan mudah dipecat dan sebagai ganti dilantik orang lain sebagai Perdana Menteri sedangkan tidak ada sebarang undi tidak percaya diluluskan di Parlimen ke atas patik."

Keluhan Najib didengar dengan tenang oleh Yang di-Pertuan Agong. Baginda dengan senyum berkata kepada Najib:
"Adakah memanda tua sudah lupa bahawa pada 22 Mei 2009 iaitu pada hari Jumaat jam 3.30 petang di tingkat bawah Palace of Justice, Putrajaya tiga Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Yang Arif ( Y.A ) Dato' Raus Sharif, Y.A Dato' Ahmad Maarop dan Y.A Dato' Zainon Ali telah sebulat suara memutuskan antara lain bahawa:

a. Seorang Menteri Besar (di peringkat negeri) atau Perdana Menteri (PM) di peringkat Pusat secara tersirat boleh dipecat atau diminta letak jawatan jika Sultan atau Yang di-Pertuan Agong memutuskan bahawa MB atau PM tidak lagi mendapat sokongan majoriti Adun atau Ahli-Ahli Parlimen.

b. Perkara 16(6) Perlembagaan Perak atau Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut bahawa kaedah bagi menentukan bahawa seorang MB atau PM hilang keyakinan majoriti Adun atau ahli-ahli Parlimen adalah melalui undi tidak percaya (votes of no confidence).

c. Kes Stephen Kalong Ningkan (1966) iaitu kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di Sarawak yang memutuskan bahawa Governor atau Sultan tidak ada kuasa memecat Ketua Menteri atau MB dan satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya tidak boleh lagi dipakai.
Yang di-Pertuan Agong seterusnya menambah:

"Bukankah keputusan Mahkamah Rayuan tersebut yang memanda tua inginkan bagi meraih keuntungan politik jangka pendek tuan hamba dan parti tuan hamba? Bukankah memanda tua yang berkeras tidak mahu mendengar keluhan rakyat dan pemimpin partai komponen memanda tua sendiri supaya krisis di Perak diselesaikan secara aman dan melalui amalan demokratik iaitu dengan kembali kepada rakyat melalui pilihan raya semula di Perak.

"Maaf memanda tua, Beta terikat dengan keputusan tersebut dan tidak boleh buat apa-apa. Maka Beta dengan ini memerintahkan memanda tua sekeluarga keluar dari rumah rasmi Perdana Menteri kerana memanda bukan lagi Perdana Menteri Malaysia."

Najib tersentak dan lemah segala sendi manakala Rosmah pula terkaku dan jatuh pengsan. Tiba-tiba mereka sedar keputusan Mahkamah Rayuan hari ini kini telah makan diri.

Jika keputusan yang paling wajar dan munasabah oleh Y.A Hakim Mahkamah Tinggi iaitu Y.A Dato? Aziz Abdul Rahim yang memutuskan bahawa satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya sekaligus mengekalkan doktrin Raja Berperlembagaan (Constitutional Monarchy), keputusan Mahkamah Rayuan pula ditafsirkan oleh ramai cendekiawan undang-undang telah melahirkan doktrin baru iaitu Raja Mutlak (Absolute Monarchy).

Jika Raja Berperlembagaan melahirkan kesejahteraan sudah tentu doktrin Raja Mutlak akan melahirkan suasana yang tidak menyenangkan.

Sketsa di atas adalah bagi saya, cara terbaik untuk memahamkan para pembaca tentang kesan keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini.

No comments: